Penandatanganan Perjanjian Kerjasama Penerbitan ITBM-Pusat Kebudayaan, Kedutaan Republik Islam Iran

Penandatanganan Perjanjian Kerjasama Penerbitan ITBM-Pusat Kebudayaan, Kedutaan Republik Islam Iran


Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Pusat Kebudayaan, Kedutaan Republik Islam Iran di Kuala Lumpur (CCIR) hari ini memeterai perjanjian kerjasama melibatkan penterjemahan dan penerbitan buku kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Republik Islam Iran. Pemeteraian perjanjian kerjasama ini adalah hasil daripada beberapa siri pertemuan dan perbincangan sebelum ini antara kedua-dua pihak. Perjanjian ini ditandatangani oleh Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM dan Encik Ali Mohammad Sabeghi, Kaunselor Kebudayaan CCIR.

Menerusi perjanjian ini, empat perkara kerjasama digariskan dan akan dilaksanakan secara bersama, iaitu penterjemahan dan penerbitan karya Parvin E’tesami – penyair wanita Iran; penerbitan buku Antologi Cerpen Malaysia-Iran; penterjemahan dan penerbitan puisi Iran/Parsi ke bahasa Melayu; dan penerbitan buku Mathnawi Jalaluddin Rumi dalam versi ekonomi.

Selain penterjemahan dan penerbitan karya, kerjasama ini turut mencakupi gerak kerja selepas penerbitan (post-production) seperti promosi dan publisiti, pengedaran serta pemasaran dan jualan. Kerjasama ini antara lain bertujuan untuk berkongsi dan bertukar kemahiran serta pengetahuan dalam industri penterjemahan dan penerbitan kedua-dua belah pihak. Selain itu, ia juga antara usaha untuk mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara dengan menggalakkan pemahaman dan kesedaran terhadap persamaan serta perbezaan budaya dan nilai kedua-dua negara.

Projek penerbitan ini dijangka siap sekitar penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan dan akan dipasarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 (29 Mac – 7 April 2019) serta Pesta Buku Antarabangsa Tehran yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2019 (jangkaan 1 hingga 11 Mei 2019). CCIR turut bersetuju membantu dan menguruskan penyertaan ITBM serta aktiviti yang akan diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Tehran akan datang.

Turut hadir dalam majlis penandatanganan perjanjian kerjasama ini adalah Encik Sakri Abdullah, Pengurus Besar ITBM; Encik Abdolreza Alami, pegawai CCIR dan Profesor Madya Dr. Naser-Gholi Sarli dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).