Majlis Pelancaran Buku "Tarian Dabus, Rebana & Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri"

Majlis Pelancaran Buku "Tarian Dabus, Rebana & Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri"


IPOH, 23 Februari 2018 – Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan hari ini melancarkan buku Tarian Dabus, Rebana & Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri terbitan bersama Kerajaan Negeri Perak, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Buku hasil tulisan Zinitulniza Abd Kadir ini mendokumentasikan tentang tarian dabus, muzik rebana serta busana Puteri Perak yang menjadi ikon dan penanda warisan kepahlawanan masyarakat negeri Perak.

Turut sama menyempurnakan pelancaran buku ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, YB Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, Encik Mohamad Razy Mohamad Nor dan Pengarah Urusan ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron. Acara pelancaran buku ini diadakan bersempena majlis Bicara Seni: Memartabatkan Seni Sebagai Industri anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Perak.

Buku Tarian Dabus, Rebana & Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri menghuraikan perihal keunikan tiga ikon kesenian negeri Perak, iaitu tarian dabus yang dipercayai telah berkembang sejak lebih 200 tahun lalu; rebana Perak serta busana Puteri Perak. Identiti unik ketiga-tiga ikon ini menjadi simbol dan penanda kepada warisan kepahlawanan anak negeri atau masyarakat negeri Perak. Penerbitan buku ini memuatkan hasil temu ramah dan kajian lapangan penulisnya dengan beberapa individu kumpulan penggiat yang terlibat secara langsung mencakupi sejarah dan teori asal usul; nyanyian; alat muzik; rebana Perak; pantang larang; khalifah dan peralatan khalifah; bunga tarian; busana Puteri Perak; legenda Puteri Limau Purut; ritual uji setia & pagar kawasan; persembahan serta masa depan seni warisan ini.

Buku ini merupakan sebuah penerbitan istimewa kerana dihasilkan tiga dalam satu – tarian dabus, rebana Perak dan busana Puteri Perak. Tujuan buku ini dihasilkan secara rangkuman sebegitu adalah kerana fungsi ketiga-tiganya saling berkait, saling menyumbang, dan paling utama, berkongsi kebimbangan nasib serta masa depan sama. Ketiga-tiga warisan yang terhasil daripada impak budaya turun-temurun dan generasi beratus tahun ini tidak terkecuali berdepan risiko pupus dan hilang lenyap daripada tamadun masa hadapan. Justeru, Kerajaan Negeri Perak, ITBM dan JKKN mengambil langkah proaktif dengan mendokumentasikan maklumat ini dalam bentuk penerbitan bagi mengekalkan bahan untuk tujuan rujukan generasi akan datang. Menerusi penerbitan ini, ketiga-tiga seni warisan ini diharap akan terus hidup, setidak-tidaknya sebagai satu tradisi ilmu, sekali gus menyumbang kepada usaha pemuliharaan, termasuk inisiatif mengekalkan falsafah, keaslian dan estetikanya.

Penerbitan buku ini juga secara keseluruhannya disasarkan untuk membuka ruang bagi memupuk minat generasi muda terhadap kesenian ini seterusnya mempelajari, mengamalkan dan mengembangkan seni warisan ini untuk generasi akan datang. Selain itu, mendokumentasikan bahan sebagai sejarah bertulis perlu diberi penekanan penting sebagai bukti kewujudan – kerana ia tidak cukup dengan sekadar diperturunkan mulut ke mulut, generasi ke generasi, bagi mengelakkan ia suatu hari nanti dicabar generasi moden akan datang sebagai hanya mitos, epik dan legenda semata-mata. Jika warisan seni sebegini pupus dan hilang, maka akan lenyaplah khazanah yang dipertahankan ratusan tahun ini, dan kita akan berada di ambang kehilangan penanda awal pembentukan bangsa dan negara.

Buku Tarian Dabus, Rebana & Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri ini merupakan penerbitan kerjasama kedua antara ITBM dan JKKN, selepas jalinan usaha sama menerbitkan buku Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu Tanah Melayu pada 2016.